
Sekarang tiba pula tahun baru mengikut kalender lunar Thai yang dikenali sebagai Hari Songkran atau Pesta Songkran. Pesta ini disambut meriah oleh masyarakat Siam seluruh Malaysia. Pesta Songkran atau Sambutan Tahun Baru secara lazimnya bermula pada Rem 1 kham dean 5 (mengikut kalender Thai) bersamaan 31 Mac 2010 sehingga sebulan masyarakat Siam akan menyambut pesta ini.
Bagi menyelaras tarikh pesta ini mengikut kalender antarabangsa maka 13 April setiap tahun telah ditetapkan sebagai Hari Songkran oleh kerajaan Thailand. Pesta Songkran merupakan salah satu kebudayaan masyarakat Siam menyambut ketibaan tahun baru.
Pelbagai aktiviti yang dirancangkan bagi memeriahkan lagi pesta ini. Antara aktiviti yang biasa diadakan ialah pertandingan bola sepak, sukaneka, pertunjukan seni tarian kebudayaan Siam, memohon ampun daripada ibubapa dan orang-orang yang lebih tua, memandikan dan melakukan persalinan pakaian kepada warga tua, menziarahi kubur, pertandingan Ratu Songkran, perarakan kereta berhias dan aktiviti yang paling diminati oleh golongan muda-mudi ialah PESTA AIR.
Bagi mengelakkan penganjuran pesta ini bertindih di antara satu kampung dengan satu kampung yang lain maka tarikh penganjuran pesta tersebut diubah mengikut kesesuaian. Ada yang diawalkan dan ada yang dilewatkan.
Pesta Songkran 2009 di Wat Titi Akar, Pendang, Kedah akan dianjurkan pada 14 dan 15 April 2010.
Pesta Songkran di Wat Padang Peliang, Pendang, Kedah akan dianjurkan pada 15 dan 16 April 2010.
Pesta Songkran di Wat naka, Padang Terap, Kedah akan dianjurkan pada 15 dan 16 April 2010.
Pesta Songkran di Wat Kalai dan Wat Kura, Sik, Kedah telah diadakan pada 4 April 2010.
Kebiasaannya ada pertunjukan kebudayaan diadakan pada sebelah malam.






