Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah (PEKEMAS)

KEBUDAYAAN TERAS PERPADUAN

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Home Perlembagaan

Perlembagaan

E-mail Print PDF
PERLEMBAGAAN PERSATUAN KEBUDAYAAN MASYARAKAT SIAM NEGERI KEDAH 

FASAL 1     NAMA

Nama Persatuan ini ialah Persatuan Kebudayaan Masyarakat Siam Negeri Kedah dan ringkasnya ‘PEKEMAS’. Selepas ini disebut ‘Persatuan’.

FASAL 2     ALAMAT TEMPAT URUSAN

Alamat tempat urusan Persatuan ini ialah di D/a Manit Sripradit, Kampung Thai Pegang, Mukim Pulai, 09100 Baling, Kedah Darul Aman atau tempat-tempat yang akan ditetapkan dari semasa ke semasa oleh Jawatankuasa.

Alamat tempat urusan Persatuan tidak boleh diubah tanpa kebenaran Pendaftar Pertubuhan terlebih dahulu.

FASAL 3     TUJUAN / MATLAMAT

3(1) Memperkenal dan mempromosikan kebudayaan Siam kepada semua lapisan masyarakat di Negeri Kedah dan di peringkat kebangsaan.

3(2) Menyatu dan melahirkan remaja, belia dan orang dewasa yang berminat dalam menghidupkan serta memelihara kesenian tradisional dan kebudayaan Siam dengan baik supaya boleh diwarisi oleh generasi yang akan datang.

3(3) Menggalak, mengembang dan memajukan kebudayaan Siam melalui penyelidikan, latihan, pesta, pertandingan, seminar dan bekerjasama dengan lain-lain badan kebudayaan bagi mempertingkatkan kesenian dan kebudayaan selaras dengan matlamat kerajaan dalam pembentukan Kebudayaan Nasional.

3(4) Menggalakkan semangat persahabatan dan persefahaman di kalangan ahli melalui aktiviti yang dijalankan.

3(5) Mengambil bahagian di dalam program-program kebudayaan dan kesenian yang akan memberi faedah kepada masyarakat dan ahli Persatuan.

3(6) Bergabung dengan mana-mana pertubuhan berdaftar yang mempunyai tujuan yang sama.

FASAL 4      KEAHLIAN

4(1) Keahlian Persatuan ini terbuka kepada semua masyarakat Siam Warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas yang bermastautin di Negeri Kedah. Keahlian Persatuan ini terbahagi kepada 4 jenis.

(a) Ahli Remaja

Terbuka kepada individu yang berumur 12 tahun hingga 18 tahun. Permohonan untuk menjadi ahli perlulah dibuat dengan kebenaran pihak ibubapa atau penjaga terlebih dahulu. Ahli ini tidak layak untuk mengundi atau memegang jawatan dalam Persatuan. 

(b) Ahli Biasa

Terbuka kepada individu yang berumur 18 tahun ke atas. Ahli ini layak untuk mengundi dan memegang jawatan dalam Persatuan.

(c) Ahli Gabungan

Terbuka kepada mana-mana kumpulan kebudayaan Siam yang berdaftar dengan Pendaftaran Pertubuhan. Ahli Gabungan boleh mengemukakan lima (5) orang wakil dalam mesyuarat agung tahunan dan mempunyai hak yang sama dengan ahli biasa.

(d) Ahli Kehormat

Persatuan boleh melantik Ahli-ahli Kehormat yang terdiri daripada mereka yang telah memberi sumbangan besar dalam masyarakat. Mereka tidak boleh mengundi dan memegang jawatan dalam Persatuan.

4(2) Tiap-tiap permohonan menjadi ahli hendaklah dicadang dan disokong oleh dua orang ahli dan dihantar kepada Setiausaha yang dikehendaki mengemukakan permohonan ini dengan secepat mungkin kepada Jawatankuasa untuk diluluskan. Jawatankuasa boleh mengikut budi bicaranya menolak sebarang permohonan tanpa memberi sebab-sebabnya.

4(3) Tiap-tiap pemohon yang permohonannya telah diluluskan seperti yang tersebut di atas, hendaklah setelah membayar yuran pendaftaran dan yuran tahun pertama seperti yang ditetapkan diterima menjadi ahli Persatuan dan berhaklah ia sebagai ahli.

4(4) Seorang pelajar Universiti atau Kolej Universiti tidak boleh diterima menjadi ahli Persatuan ini kecuali ia telah dibenarkan terlebih dahulu secara bertulis oleh Naib Canselor Universiti yang berkenaan.

4(5) Setiap pemohon yang telah diluluskan permohonannya menjadi ahli akan diberikan satu salinan undang-undang dan undang-undang kecil Persatuan.

FASAL 5     BAYARAN MASUK, YURAN DAN BAYARAN LAIN

5(1) Bayaran masuk dan yuran yang perlu dijelaskan oleh ahli-ahli adalah seperti berikut:

(a) Ahli Remaja

Bayaran Masuk : RM5.00 (Ringgit Malaysia: Lima sahaja)

Yuran Tahunan : RM3.00 (Ringgit Malaysia: Tiga sahaja)

(b) Ahli Biasa

Bayaran Masuk : RM5.00 (Ringgit Malaysia: Lima sahaja)

Yuran Tahunan : RM5.00 (Ringgit Malaysia: Lima sahaja)

(c) Ahli Gabungan

Bayaran Masuk : RM5.00 (Ringgit Malaysia: Lima sahaja)

Yuran Tahunan : RM25.00 (Ringgit Malaysia: Dua Puluh Lima sahaja)

(d) Ahli Kehormat

Tidak dikenakan bayaran

5(2) Yuran tahunan hendaklah dijelaskan kepada Bendahari sebelum atau selewat-lewatnya pada 31 Mac taip-tiap tahun.

5(3) Ahli yang tidak menjelaskan yuran tahunannya yang tertunggak lebih dari satu tahun akan menerima surat peringatan yang ditandatangani oleh Setiausaha atau wakil Setiausaha dan hilanglah hak-hak keistimewaannya sebagai ahli sehingga hutangnya telah dijelaskan.

5(4) Ahli yang membiarkan hutangnya sebanyak lebih daripada jumlah yuran bagi dua tahun dengan sendirinya terhenti daripada menjadi ahli Persatuan dan Jawatankuasa boleh memerintah supaya tindakan yang sah diambil terhadapnya dengan syarat mereka berpuashati yang ahli itu telah menerima kenyataan berkenaan hutangnya terlebih dahulu.

5(5) Jawatankuasa mempunyai kuasa menetapkan yuran masuk semula bagi sesiapa yang telah membiarkan keahliannya terlucut disebabkan hutang.

5(6) Yuran-yuran khas atau kutipan wang daripada ahli-ahli untuk perkara yang tertentu boleh dipungut dengan persetujuan mesyuarat agung ahli-ahli. Sekiranya ada ahli yang mungkir membayar wang yuran tersebut dalam tempoh yang telah ditetapkan, maka wang itu akan dianggap sama seperti hutang yuran tahunan.

FASAL 6     PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

6(1) Ahli yang hendak berhenti daripada menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi kenyataan secara bertulis dua minggu terlebih dahulu kepada Setiausaha dan menjelaskan segala hutangnya.

6(2) Mana-mana ahli yang gagal mematuhi undang-undang Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemarkan nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantungkan keahliannya bagi sesuatu tempoh sebagaimana yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa. Sebelum Jawatankuasa memecat atau mengantung ahli tersebut, ahli itu hendaklah diberitahu akan sebab-sebab bagi pemecatan atau penggantungannya secara bertulis. Ahli tersebut juga hendaklah diberi peluang untuk memberi penjelasan dan membela dirinya. Pemecatan atau penggantungan itu hendaklah dilaksanakan melainkan mesyuarat agung menunda atau membatalkan keputusan itu atas rayuan ahli tersebut.

FASAL 7     MESYUARAT AGUNG

7(1) Pengelolaan Persatuan ini terserah kepada Mesyuarat Agung ahli-ahli. Sekurang-kurangnya satu perdua (1/2) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi atau dua kali jumlah ahli-ahli jawatankuasa, mengikut mana yang kurang hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung bagi mengesahkan perjalanan mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

7(2) Jika korum tidak cukup selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat, maka mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah (1/2) jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk mesyuarat yang ditangguhkan itu maka berkuasalah ahli-ahli yang hadir menjalankan mesyuarat tetapi tidaklah berkuasa meminda undang-undang Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

7(3) Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan dengan secepat mungkin setelah berakhirnya tahun kewangan tetapi tidak lewat daripada 31 Mac pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:(a) Menerima laporan Jawatankuasa berkenaan perjalanan Persatuan di dalam tahun lalu; (b) Menerima laporan Bendahari dan penyata kewangan yang telah diaudit bagi tahun yang lalu;(c) Memilih Ahli Jawatankuasa dan Pemeriksa Kira-Kira untuk dua tahun yang akan datang; dan(d) Menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

7(4) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 7 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan, satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan serta penyata kira-kira Persatuan bagi tahun lalu yang telah diaudit. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan Persatuan.

FASAL 8       MESYUARAT AGUNG KHAS

8(1) Mesyuarat Agung Khas bagi Persatuan ini boleh diadakan:(a) Apabila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa; atau(b) Atas permintaan beramai-ramai dengan bertulis oleh tidak kurang dari satu per lima (1/5) daripada jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Persatuan.

8(2) Mesyuarat Agung Khas yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan mesyuarat.

8(3) Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Khas itu hendaklah diedarkan oleh Setiausaha kepada semua ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8(4) Fasal 7(1) dan 7(2) di dalam undang-undang ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Khas, tetapi dengan syarat jika korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang telah ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli, maka mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa 6 bulan dari tarikh ini. Mesyuarat Agung Khas atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

8(5) Setiausaha hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli satu salinan deraf peringatan tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Agung Khas dengan seberapa segera yang boleh setelah selesainya mesyuarat itu.

FASAL 9     JAWATANKUASA

9(1) Satu Jawatankuasa seperti berikut yang dinamakan Pegawai Persatuan hendaklah dipilih di dalam Mesyuarat Agung Tahunan:-           

Seorang Pengerusi           

Seorang Naib Pengerusi  

Seorang Setiausaha 

Seorang Penolong Setiausaha

Seorang Bendahari

9 orang Ahli Jawatankuasa Biasa

9(2) Pemegang-pemegang jawatan Persatuan dan tiap-tiap pegawai yang menjalankan tugas eksekutif dalam Persatuan hendaklah terdiri daripada Warganegara Malaysia.

9(3) Nama-nama untuk jawatan-jawatan di atas hendaklah dicadangkan serta disokong dan pemilihan dijalankan dengan cara mengundi oleh ahli-ahli di dalam Mesyuarat Agung Tahunan. Semua pegawai-pegawai boleh dilantik semula tiap-tiap 2 tahun sekali.

9(4) Fungsi Jawatankuasa ialah mengelola dan mengaturkan kerja-kerja harian Persatuan dan membuat keputusan atas perkara-perkara mengenai perjalanan Persatuan mengikut dasar am yang telah ditetapkan oleh Mesyuarat Agung. Jawatankuasa seharusnya tidaklah boleh mengambil tindakan yang bertentangan dengan keputusan Mesyuarat Agung dengan tidak terlebih dahulu berhubung dengannya dan Jawatankuasa mestilah sentiasa mematuhi keputusan Mesyuarat Agung. Jawatankuasa hendaklah mengemukakan laporan berkenaan kegiatannya dalam tahun lalu kepada tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

9(5) Jawatankuasa hendaklah bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh 3 bulan. Pengumuman bagi tiap-tiap mesyuarat hendaklah diberikan kepada ahli-ahli 7 hari terlebih dahulu. Pengerusi dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan Mesyuarat Jawatankuasa pada bila-bila masa. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan Ahli Jawatankuasa hendaklah hadir bagi mengesahkan perjalanan dan mencukupkan korum mesyuarat.

9(6) Jika timbul perkara mustahak yang berkehendakkan kelulusan Jawatankuasa dan mesyuarat Jawatankuasa tidak dapat diadakan, maka Setiausaha bolehlah mendapatkan kelulusan dari Ahli-Ahli Jawatankuasa secara pengedaran Surat Pekeliling. Syarat-syarat mengenainya seperti berikut mestilah disempurnakan sebelum keputusan Jawatankuasa boleh dianggap sebagai telah diterima.(a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang dan jelas di dalam Surat Pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap Ahli Jawatankuasa; (b) Sekurang-kurangnya setengah daripada bilangan Ahli Jawatankuasa mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan(c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak.

Sebarang keputusan yang didapati melalui Surat Pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha kepada Mesyuarat Jawatankuasa berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

9(7) Ahli Jawatankuasa yang mungkir menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa tiga kali berturut-turut tanpa alasan yang memuaskan akan disifatkan sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa.

9(8) Jika seseorang Ahli Jawatankuasa meninggal dunia atau meletakkan jawatan, calon yang kedua mendapat undi terbanyak di dalam pemilihan yang lalu hendaklah dipanggil untuk memenuhkan kekosongan itu. Jika calon yang sedemikian tidak ada atau menolak jawatan itu, maka berkuasalah Jawatankuasa melantik ahli yang lain memenuhkan kekosongan itu sehingga pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

9(9) Jawatankuasa boleh memberi arahan kepada Setiausaha dan pegawai-pegawai lain untuk menjalankan urusan Persatuan, dan melantik pengurus dan kakitangan yang difikirkannya mustahak. Ia boleh menggantungkan atau melucutkan jawatan sebarang pengurus atau kakitangan kerana cuai di dalam pekerjaan, curang, tidak cekap, engkar menjalankan keputusan Jawatankuasa, atau kerana sebab-sebab yang difikirkan boleh merosakkan kepentingan Persatuan.

9(10) Jawatankuasa boleh menubuhkan Jawatankuasa Kecil jika difikirkan mustahak dan memberikan kewajipan khas kepada sebarang Ahli Jawatankuasa.

FASAL 10     KEWAJIPAN-KEWAJIPAN PEGAWAI

10(1) Pengerusi, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung dan semua Mesyuarat Jawatankuasa dan bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Ia mempunyai undi pemutus dan hendaklah ia menandatangani peringatan mesyuarat bila telah diluluskan. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Setiausaha dan Bendahari.

10(2) Naib Pengerusi hendaklah membantu Pengerusi dan memangku jawatan Pengerusi semasa ketiadaannya.

10(3) Setiausaha hendaklah menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut undang-undang dan hendaklah ia menjalankan perintah Mesyuarat Agung dan Jawatankuasa. Ia bertanggungjawab mengendalikan urusan surat menyurat dan menyimpan semua buku, surat dan kertas kecuali akaun dan buku-buku kewangan. Setiausaha hendaklah menyimpan buku daftar ahli yang mengandungi butir-butir seperti nama, tempat dan tarikh lahir, nombor kad pengenalan, pekerjaan, nama dan alamat majikan dan alamat rumah tiap-tiap ahli. Ia hendaklah hadir di dalam semua mesyuarat dan membuat catatan mesyuarat. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Bendahari. Setiausaha hendaklah dalam masa 60 hari dari  tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan mengirimkan penyata tahunan Persatuan kepada Pendaftar Pertubuhan sebagaimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan,  1966.

10(4) Penolong Setiausaha hendaklah menolong Setiausaha menjalankan kerja-kerjanya dan memangku jawatan itu semasa ketiadaan Setiausaha.

10(5) Bendahari adalah bertanggungjawab berkenaan semua hal kewangan Persatuan. Ia hendaklah membuat dan menyimpan kira-kira berkenaan semua perkara kewangan dan bertanggungjawab di atas ketetapannya. Ia hendaklah menandatangani semua cek Persatuan bersama-sama dengan Pengerusi dan Setiausaha.

10(6) Ahli Jawatankuasa Biasa hendaklah membantu Jawatankuasa dalam menjalankan tugas yang diarahkan olehnya.

FASAL 11     KEWANGAN

11(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan berikut dalam undang-undang ini, wang Persatuan boleh digunakan untuk perkara yang berfaedah bagi menjalankan tujuan-tujuan Persatuan, termasuklah belanja pentadbiran, bayaran gaji, biayaan dan perbelanjaan pegawai-pegawai dan kakitangan yang bergaji serta upah memeriksa kira-kira. Walau bagaimanapun, wang itu tidaklah boleh digunakan untuk membayar denda ahli yang telah dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah.

11(2) Bendahari dibenarkan menyimpan wang runcit tidak lebih daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia:  Tiga ratus sahaja) pada sesuatu masa. Wang yang lebih daripada jumlah itu mestilah dimasukkan ke dalam bank yang diluluskan oleh Jawatankuasa. Kira-kira bank itu hendaklah di atas nama Persatuan.

11(3) Perbelanjaan yang lebih daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia: Tiga ratus sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dibayar dengan tidak diluluskan terlebih dahulu oleh Jawatankuasa dan perbelanjaan yang lebih daripada RM1,000.00 (Ringgit Malaysia: Satu ribu sahaja) bagi sesuatu masa tidak boleh dilakukan tanpa mendapat kebenaran Mesyuarat Agung terlebih dahulu. Perbelanjaan yang kurang daripada RM300.00 (Ringgit Malaysia: Tiga ratus sahaja) bagi sesuatu masa bolehlah diluluskan oleh Pengerusi bersama Setiausaha dan Bendahari.

11(4) Segala cek atau kenyataan pengeluaran wang dari kira-kira Persatuan hendaklah ditandatangani bersama oleh Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari. Semasa ketiadaan Pengerusi, Setiausaha atau Bendahari maka bolehlah Jawatankuasa melantik sesiapa di antara mereka sebagai pengganti untuk menandatangani cek atau kenyataan pengeluaran wang Persatuan.

11(5) Penyata darihal wang yang diterima dan dibelanjakan serta kunci kira-kira bagi setahun hendaklah disediakan oleh Bendahari dan diperiksa oleh Pemeriksa Kira-Kira yang dilantik di bawah Fasal 12 undang-undang ini dengan seberapa segera setelah tamatnya tahun kewangan.  Penyata kira-kira yang telah diaudit itu hendaklah dikemukakan untuk diluluskan oleh Mesyuarat Agung Tahunan yang berikut dan salinannya hendaklah dibekalkan untuk makluman ahli di tempat urusan Persatuan.

11(6) Tahun kewangan bermula pada 1 Januari dan berakhir 31 Disember, pada tiap-tiap tahun.

FASAL 12    PEMERIKSA KIRA-KIRA

12(1) Dua orang yang bukannya Pegawai Persatuan boleh dilantik di dalam Mesyuarat Agung Tahunan sebagai Pemeriksa Kira-Kira. Mereka akan memegang jawatan selama dua (2) tahun dan boleh dilantik semula.

12(2) Pemeriksa Kira-Kira adalah dikehendaki memeriksa kira-kira Persatuan bagi setahun dan membuat laporan atau pengesahan untuk Mesyuarat Agung Tahunan. Mereka juga dikehendaki pada bila-bila masa oleh Pengerusi mengaudit kira-kira Persatuan bagi mana-mana masa di dalam tempoh perkhidmatan mereka dan membuat laporan kepada Jawatankuasa.

FASAL 13      PENGAMANAH

13(1) Tiga (3) orang Pengamanah yang berumur lebih daripada 21 tahun hendaklah dilantik di dalam Mesyuarat Agung dan mereka akan berkhidmat selama yang dikehendaki oleh Persatuan. Semua harta tetap kepunyaan Persatuan akan diamanahkan kepada mereka dengan menandatangani suatu surat Amanah (Deed of Trust).

13(2) Pengamanah tidak boleh menjual, menarik balik atau memindahkan hakmilik harta kepunyaan Persatuan dengan tidak mendapat kelulusan dan kuasa yang diberikan oleh Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan.

13(3) Seseorang Pengamanah itu boleh dilucutkan daripada jawatannya oleh Mesyuarat Agung oleh sebab uzur kerana penyakit, tidak siuman, tidak berada di dalam negeri atau kerana sebab lain yang mengakibatkan ia tidak dapat menjalankan tugasnya atau pekerjaannya dengan memuaskan. Jika berlaku kematian, perletakan jawatan atau pemecatan bagi seseorang Pengamanah, maka kekosongan itu bolehlah dipenuhkan oleh Pengamanah yang baru yang dilantik di dalam Mesyuarat Agung.

FASAL 14      TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

14(1) Sekiranya timbul sebarang pertelingkahan tentang tafsiran atau sebarang keraguan berkenaan undang-undang ini, maka Jawatankuasa bolehlah menggunakan budi bicaranya untuk memutuskan perkara-perkara yang tidak terkandung di dalam undang-undang ini.

14(2) Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung, keputusan Jawatankuasa terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung.

FASAL 15      BADAN PENASIHAT

15(1)Jawatankuasa boleh, jika difikirkan perlu, melantik seramai tidak lebih daripada 10 orang menjadi ahli Badan Penasihat Persatuan ini dengan syarat orang yang dilantik itu menyatakan persetujuannya secara bertulis.

15(2) Badan Penasihat ini akan berkumpul untuk berbincang atau bermesyuarat apabila timbul soalan, masalah serta kesulitan-kesulitan rancangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa untuk mendapatkan nasihat dan buah fikiran serta tunjuk ajar bagi Persatuan.

15(3) Pengerusi dan Setiausaha Persatuan hendaklah hadir bersama-sama apabila mesyuarat ini diadakan.

15(4) Setiausaha Persatuan adalah Setiausaha bagi Badan Penasihat ini.

FASAL 16      LARANGAN

16(1) Permainan yang disebutkan di bawah ini tidak boleh dimainkan di dalam rumah Persatuan:  Roulette, Lotto, Fan Tan, Poh, Peh Bin, Belangkai, Pai Kau, Tau Ngau, Tien Kow, Chap Ji Kee, Sam Cheong, Dua Puluh Satu, Sepuluh dan Setengah, semua permainan dadu, banker’s game dan semua permainan yang bergantung semata-mata kepada nasib.

16(2) Semua jenis minuman keras tidak boleh diminum di dalam rumah Persatuan atau semasa  menjalankan aktiviti Persatuan.

16(3) Persatuan atau ahli-ahlinya tidak harus cuba menghalang atau dengan apa cara juga mengganggu perniagaan atau harga barang-barang atau mengambil peranan di dalam gerakan Kesatuan Sekerja seperti definasi di dalam Akta Kesatuan Sekerja, 1959.

16(4) Persatuan ini tidak boleh menjalankan loteri sama ada dikhaskan kepada ahli-ahli atau tidak, atas nama Persatuan atau pegawai-pegawai atau Jawatankuasa atau ahli, tanpa kelulusan daripada pihak berkuasa berkenaan.

16(5) "Faedah" seperti yang diterangkan di bawah Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966, tidaklah boleh diberikan oleh Persatuan kepada mana-mana ahlinya.

FASAL 17      PINDAAN UNDANG-UNDANG

Undang-undang ini tidak boleh dipinda melainkan dengan persetujuan 2/3 daripada wakil yang berhak mengundi di Mesyuarat Agung Tahunan. Permohonan untuk perubahan atau pindaan kepada undang-undang hendaklah dibuat kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 60 hari dari tarikh keputusan Mesyuarat Agung meluluskan perubahan atau pindaan itu dan hanya boleh dikuatkuasakan mulai daripada tarikh perubahan atau pindaan itu diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan.

FASAL 18      PEMBUBARAN

18(1) Persatuan boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.

18(2) Sekiranya Persatuan hendak dibubarkan secara yang disebutkan di atas, maka segala hutang dan tanggungan Persatuan yang sah mengikut undang-undang hendaklah dijelaskan dan baki wang yang tinggal hendaklah diselesaikan mengikut cara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Agung berkenaan.

18(3) Kenyataan bersabit dengan pembubaran itu hendaklah disampaikan kepada Pendaftar Pertubuhan dalam masa 14 hari dari tarikh pembubaran itu.

Last Updated ( Monday, 06 October 2008 17:10 )  
Logo

Terkini di Forum


Berita Semasa

Presiden Pekemas akan mewakili masyarakat Siam menghadiri mesyuarat tentang perbincangan Bajet Negara 2011 di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya pada 19 Julai 2010. Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh YB Timbalan Menteri Kewangan Malaysia I.